Dea Asmaria

Pada awan biru ku melakar kata-kata, pada langit cerah ku panah semua cerita...

CERPEN UNTUK GRADUAN
(Sempena Majlis Konvokesyen ke-8 Graduan Umt)
Sebuah Karya Dea Asmaria -13/07/2010


-SURAT DARI KAMPUS-

Bahawasanya dengan ini disahkan .................... program Sarjana Muda Sains Gunaan (P.&P. Biodiversiti) (Kepujian) telah lulus dan melengkapkan semua keperluan program tersebut pada semester Dis 2009-2010, tertakluk kepada peraturan-peraturan universiti mengenai pengurniaan Ijazah/Diploma. Beliau akan dikurniakan Ijazah/Diploma dalam majlis konvokesyen UMT pada 25 Julai 2010.

Aku melipat semula surat itu sebaik sahaja selesai membaca isi kandungannya. Pipi terasa hangat. Ada manik-manik jernih yang mengalir. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu. Saat-saat yang aku nantikan selama ini akan tiba jua. Akhirnya impianku bakal menjadi nyata. Impian yang turut sama dinantikan oleh setiap insan yang bergelar mahasiswa/i. Majlis konvokesyen!

Sambil berbaring di atas katil, aku kembali merenung surat konvokensyen itu untuk kesekian kalinya. Entah mengapa saat ini mengundang seribu kenangan semasa zaman belajar dulu. Saat pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi UMT dengan penuh harapan dan impian sehinggalah tamat belajar. Kenangan lama itu kembali mengimbau rasa, terungkap satu persatu.....



-PAPAN TANDA UNIVERSITI-

Tinggi-tinggi burung terbang,
Tinggi lagi angan dan impian,
Jauh-jauh kami datang,
Jauh merantau memburu kejayaan

-Universiti Malaysia Terengganu-
‘ Terokaan Seluas Lautan’

Bila saja disebut UMT, terlukislah di dalam kepala sebuah institusi pengajian tinggi awam yang terletak di Mengabang Telipot Kuala Terengganu. Telipot itu sejenis bunga, macam bunga teratai atau kiambang yang amat kukuh, cantik dan teguh walau datang hujan atau ribut, ia tetap tegak terapung di atas air. Begitulah juga UMT yang tetap teguh berdiri memacu bidang sains, teknologi dan pengurusan sumber alam melalui penjanaan program pengajian dan penyelidikan cemerlang ke arah pembangunan insan yang menjamin kelestarian agama, bangsa dan negara. Lokasinya yang strategik, iaitu di sepanjang pantai Laut Cina Selatan, menjadikan UMT sebuah universiti maritim yang ideal. Di sinilah juga, perjuanganku bermula sebagai seorang mahasiswi. Aku berharap aku juga dapat menjadi seperti sang telipot, si anggun yang kukuh, berani dan teguh, walaupun aku tak mungkin jadi si anggun yang menarik, cukuplah aku dapat bertahan dengan dugaan yang mendatang. Selayak pengembara, aku akan melangkah tanpa silu, menyusur tanpa ragu, menimba ilmu berbekal keyakinan padu! Di bumi UMT ini jugalah aku menemui sebuah persahabatan yang cukup bermakna. Bersama putaran waktu tersemai benih kasih antara aku, Jue, Ja, Simaa, Huda, Yaya, Rerey dan Ikin. Kehadiran teman-teman sekuliah yang lain juga turut menambah aroma wangi musim persahabatan kami di UMT. Sama-sama mengatur langkah seiring memburu sebuah kejayaan.

Kalian tentu dapat merasakan amat akrab
Untaian persahabatan ini
Tidak akan terlerai simpul ikatan dan
Kita akan sama-sama mengatur langkah seiring
Mencari erti perjuangan yang jauh ini...



-SI ANAK KAMPUS-

Dari pagi sampai petang keluar masuk dewan kuliah, ulang alik ke makmal dan fakulti. Begitulah rutin harianku sebagai anak kampus. Bila kembali ke bilik, bingit dan bising para penghuni asrama di kiri kanan atas bawah depan belakang mulai kedengaran. Siaran TV di dewan istirehat pastinya sudah bermula, agaknya sudah ramai yang sedang menonton siaran pada waktu itu kerana kedengaran hilai tawa mereka. Sekali sekala kedengaran dentuman pintu buka tutup. Gelak ketawa dan hilai gurauan dari sebuah bilik ke sebuah bilik, begitu juga jerit pekik di tingkat 3 asrama pun semakin kedengaran. Bunyi motorsikal keluar dari tempat parking blok IJ, mungkin ada yang menapak keluar untuk makan petang atau keluar menghirup udara segar di luar. Aku berbaring di atas katil sambil merenung syiling asrama, kipas yang sedang berputar aku amati. Badan terasa keletihan kerana seharian di kampus, terasa ingin merehatkan diri seketika tapi entah mengapa mata masih belum mengantuk. Aku menoleh ke sisi kanan, terlihat teman sebilikku yang juga rakan sekuliahku, Jue telah lama terlena di katilnya. Mungkin kerana terlalu keletihan begitu cepat sekali dia terlena. Kelihatan begitu lena sekali tidurnya, mungkin sedang menganyam mimpi-mimpi indah. Perlahan-lahan aku bangkit dari katil menuju ke jendela, enggan mengganggu lena teman sebilikku itu. Dari luar jendela bilikku, aku dapat lihat gerimis petang berguguran. Bunyi deruan ombak dari kejauhan dan nyaman deru angin pantai, membuai ketenangan. Membuat aku leka melayan menungan panjang sambil menghadap ke luar jendela. Selama tiga tahun aku akan berada di sini untuk menuntut ilmu. Jauh dari kampung halaman dan keluarga tercinta. Saat-saat begini pastinya menggamit rindu pada keluarga tersayang. Teringat wajah ma dan abah yang tidak jemu memberi amanat. Dan amanat itu aku pahat kukuh di hati. Namun, kadang-kadang hati sering diburu cemas berpanjangan kerana bimbang diri kan terleka hingga terabai segala cita-cita. Aku tidak perlu tunjuk belang di negeri orang. Hidup berpegang atas dasar merantau. Dan yang paling utama aku datang jauh-jauh untuk menuntut ilmu. Inilah yang dinamakan dugaan dan cabaran dalam menuntut ilmu. Aku jadi pasrah dan setiap kali aku menghadap tikar sembahyang, aku tidak putus-putus panjatkan doa kepada Allah agar diriku dipelihara dari sebarang anasir negatif dan tabah menghadapi dugaan yang mendatang.

Gerimis di luar kamar
Mengingatkan kembali musim banjir
Di kampung halaman.
Namun semuanya telah berlalu
Aku telah menjadi si anak kampus
Setengah manja dan sering lupa pada
Suara belalang rusa dan perit mentari.
Aku mula menjadi anak kampus
Lena dalam kesibukan dan tugas-tugas kuliah,
Namun aku tetap mengingatkan diri
Agar tidak terpukau oleh suria yang berkilau
Dan redup cahaya bulan
Kerana hidup selamanya tidak setenang air di kali!



-DI SUDUT DEWAN KULIAH-

Di suatu sudut dewan kuliah aku melihat rakan-rakan begitu tekun mendengar pengajaran yang disampaikan oleh Pensyarah. Kelihatan Huda dan Ikin begitu laju mencatat nota-nota penting. Sesekali aku mengerling Simaa dan Ja di sebelah, sudah beberapa kali sahabat-sahabat aku itu terangguk-angguk..tergeleng-geleng. Entah apa yang diiakan pun tak tahu la. Hahaha...mana taknya itu tanda-tanda burung belantuk minta disorongkan bantal ler...Aku tergelak di dalam hati. Baru je 15 minit kuliah bermula dah tersengguk-sengguk. Ish2, inilah gara-gara marathon tengok movie korea semalam. Seketika aku kembali memberi tumpuan kepada pembelajaran.
“ Tok ! Tok ! Maaf Dr. A., kami terlambat. ” ketukan di pintu kuliah membuatkan pembelajaran terhenti seketika. Kelihatan geng-geng Pok Ya The Landlord melangkah masuk ke dalam dewan kuliah. Ketua Bio-D pun ada sekali! Laksana model terkenal....Akmal, Sam, Acap, Syafiq, Kamil, Shamin dan Leo berjalan dengan penuh gaya menuju tempat duduk di belakang. Control-control...ramai orang tengok! Huhu...
“Hmm...Dr.A, kalau nak tahu..Inilah dia barisan-barisan Lelaki Melayu Terakhir... selalu lambat. Dia orang ni memang macam ni Dr., sebelum datang kelas, kena telefon mak ayah dulu minta doa restu, mesej buah hati dulu minta kata-kata semangat...Bagus betul budak-budak ni. Inilah dia contoh terbaik Lelaki Melayu Terakhir...hehe..” laung Ayu spontan, dan seisi kelas ketawa. Serta merta Linda mengangkat kedua tangannya menunjukkan isyarat ‘good’ tanda mengiakan kata-kata Ayu. Dan, macam selalulah...geng-geng Pok Ya The Landlord ni tetap maintain cool dan sempoi. Menyambut setiap usikan dan gurauan dengan senyuman yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Dr. A hanya mampu tergelak sambil mengeleng kepala, beliau sudah sedia maklum dengan gelagat budak-budak kelas ni. Kemudian, beliau kembali meneruskan pengajaran yang terhenti seketika tadi. Mataku terus tercacap ke wajah pensyarahku itu. Kembali memberikan sepenuh perhatian kepada pengajarannya.
“ Tu dia...khusyuk betul!” Yaya mencuit bahuku. Pen yang aku pegang sejak tadi terlepas dari tanganku. Pen yang terjatuh di lantai ku kutip semula. Aku memandang sekilas ke wajah Yaya yang sedang memandangku. Rerey yang duduk di sebelah Yaya pun turut memberi reaksi yang sama. Dan aku hanya mampu tersenyum simpul memandang mereka. Tidak perasan pulak aku rupa-rupanya dari tadi lagi Yaya memanggil ku.
“ Tie, pukul berapa sekarang ? ” Yaya menyoalku perlahan. Aku melirik ke jarum jam di tangan yang ligat berpusing. Rupa-rupanya hampir satu jam kuliah sudah berlangsung.
“ 9.50 pagi!” Jawabku ringkas.
“ Lambatnya...bila kuliah nak habis ni? Laparlah...tadi tak sempat sarapan. ” Luah Yaya lemah dengan membuat memek muka manja seperti biasa..Hahaha..
“ Rilek-rilek..lagi 10 minit nak habis. Orang pun lapar jugak ni...hehehe..” Jawabku lagi.
“ Korang, kita nak sarapan kat mana jap lagi? ” Soal Rerey tiba-tiba.
“ Tak yah sarapan, lunch terus! ” Sampuk Ju spontan sambil tersengeh-sengeh.
“ Amboi! Kalau bab makan laju je nyampuk ek.” Ikin bersuara tiba-tiba.
“ Tempat biasa la, Kafe FST.” Balas Ja pula. Aku, Simaa dan Yaya hanya mampu mengangguk tanda setuju. Manakala, seperti biasa Huda pula tetap tekun mencatat sesuatu pada notanya.
“ Okey class, kuliah kita setakat nie je untuk hari ini... jangan lupa hantar assignment, sebelum 12.00 tengah hari...Selasa minggu depan! ” Kata-kata yang terpacul dari bibir Dr. A menamatkan perbincangan kami. Akhirnya, kuliah yang berlangsung selama 1 jam berjalan dengan lancar. Masa yang dinantikan oleh setiap orang pelajar iaitu tamatnya sesi kuliah! Aku mengeliat kecil membetulkan sendi-sendi yang terasa lenguh. Perlahan-lahan aku mengemaskan buku-buku untuk beredar dari dewan kuliah. Dewan kuliah menjadi bingit tiba-tiba. Masing-masing sedang mengatur langkah keluar dari dewan kuliah. Aku dan rakan-rakanku mempercepatkan langkah untuk beredar dari situ dan bergerak menuju ke arah Kafe FST. Apalagi, isi perut sambil buat Mesyuarat Semasa meja bulat ler! Kah..kah..kah..

Bercinta dengan buku
Berkasih sayang dengan pelajaran
Bercerai dengan kegagalan

Hari ini adalah kenyataan
Semalam adalah kenangan
Esok adalah impian...



-HARI PEPERIKSAAN-

Aku bersandar lesu di kerusi. Seharian mengadap laptop dan nota-nota kuliah membuatkan mataku berpinar-pinar. Kepala pun dirasakan seolah-olah berpusing. Saat itu, hanya bantal dan tilam empuk saja yang bermain-main difikiran. Namun, bila diingatkan masih banyak nota-nota yang perlu dibaca dan penulisan tesis yang perlu disiapkan aku gagahkan diri untuk bertahan. Final exam untuk semester akhir ini tinggal lagi seminggu. Peperiksaan kali ini adalah sangat penting untuk aku menempah tiket layak bergraduasi dengan jayanya nanti. Jadi, aku harus berusaha sedaya upaya. Seketika aku memejamkan mataku rapat-rapat. Biar letih yang bertandang hilang buat seketika. Pada masa yang sama Jue, Ja dan Simaa juga tekun menelaah di meja study masing-masing. Terutama Simaa yang kelihatan begitu khusyuk sekali, nota-nota diteliti satu persatu, sekali-sekala tangannya cepat menekan kalkulator dan mengerakkan tetikus pada laptopnya. Sekejap-sekejap dilentokkan lehernya, barangkali terlalu lenguh kerana sudah hampir 2 jam menghadap laptop kesayangannnya. Earphone masih setia ditelinga, sudah menjadi kebiasaan Simaa study sambil mendengar muzik. Tidak syak lagi sememangnya lagu-lagu klasik yang dilayannya...
“ Korang, Jom keluar makan, orang lapar tahap cipan dah ni! ” Tiba-tiba Simaa bersuara bukan sahaja mengejutkan Ja dan Jue tapi turut sama membuatkan aku yang hampir-hampir terlena tadi tersentak. Serta merta mataku terbuka. Serentak aku, Ja dan Jue memandangnya.
“ Hah? ” Kami bersuara serentak. Agak kehairanan. Entah kenapa dengan Simaa ni, biasanya lewat petang baru perutnya akan berbunyi, ini tidak awal-awal lagi dah ajak makan.
“ Tension la ngadap nota ni lama-lama. Makin bertambah lapar ada la. Pergi makan jom! Kita sambung study malam karang pulak...hehehe..” Sambung Simaa lagi sambil mengemaskan meja studynya dan bersiap sedia untuk keluar makan.
“ Ok, orang pun dah tak larat dah nak teruskan ni...Jom! Boleh ajak Yaya, Huda, Ikin dan Rerey join sekali. ” Tiba-tiba aku bersuara. Bab-bab makan ni sensitif sikit kalau dengar, automatik perut terasa lapar...hahaha... Kemudian aku pun turut bersiap-siap untuk keluar, begitu juga Ja dan Jue yang mula bergerak perlahan-lahan dari meja study untuk bersiap-siap keluar makan.. Kami memang seiring dan sekata, pergi mana-mana memang bersama...lapan serangkai! Walaupun masing-masing menghadapi tekanan dengan exam yang bakal menjelma tetapi kami tidak pernah mensia-siakan masa bersama begitu sahaja. Time study kami study, Time makan kami makan, Time enjoy kami enjoy...dan time bergosip pulak memang tak pernah miss! Hahaha... Begitulah caranya kami membahagikan masa dengan aktiviti-aktiviti yang sepatutnya. Sedikit sebanyak ianya dapat menghilangkan tekanan yang seringkali melingkari hari-hari kami sebagai pelajar. Berjumpa, berbincang dan berkongsi setiap kesempatan yang ada. Sesungguhnya, rahsia kejayaan hidup adalah persediaan kita untuk menyambut kesempatan yang menjelma!

Semalam,
Orang kata perjalanan masih jauh
Mentari baru tersenyum
Meraba-raba di bumi hijau.
Semalam,
Bulan tersenyum di dada laut
Ombak terus menggigit pantai
Bersama pelangi menjadi saksi.
Hari ini,
Tali waktu terus berlalu
Bersama alun malam
Menuju perhentian
Sebenarnya ia dekat...HARI PEPERIKSAAN!!!

Masanya kini telah tiba. Final exam telah pun bermula. Aku dan teman-teman rapatku melangkah tapak demi tapak menuju ke arah Dewan Sultan Mizan, tempat berlangsungnya peperiksaan kami. Kami berdiri di lobby dewan sementara menunggu untuk dibenarkan masuk bagi memulakan peperiksaan. Pagi itu aku bangun lebih awal dari kebiasaannya. Entah mengapa hatiku begitu gementar mungkin kerana hari ini merupakan hari pertama peperiksaan. Seperti biasa, sementara menunggu di luar dewan, pelajar-pelajar kelihatan begitu sibuk meneliti nota-nota ringkas masing-masing untuk kali terakhir. Ada jugak yang rancak berbincang sesama mereka. Tidak ketinggalan jugak ada yang sempat bergurau senda dan bergelak ketawa. Ternyata keadaan di lobby dewan saat itu begitu bingit sekali dengan suara-suara para pelajar yang sedang menunggu untuk dibenarkan masuk ke dalam dewan. Seketika aku melemparkan pandangan ke arah pintu masuk lobby dewan. Kelihatan rakan sekuliahku Zatil, Shimah, Diya, Pija dan Tan Tiong Kai sedang melangkah masuk, mereka kelihatan yakin sekali sementara ada yang sedang membelek-belek nota sambil berjalan. Di belakang mereka pula kelihatan Ummu, Atiqah Yusuf dan Nadiya Azmi. Tidak ketinggalan juga Chandrika dan Magala yang baru melangkah masuk. Di kawasan tepi dewan pula kelihatan Ada Bahar, Mogana, Syue dan Atiqah Abd Rahman sedang rancak berbincang dan meneliti nota masing-masing.
“ Siti!!! ” Aku terkejut tiba-tiba dengan suara yang memanggil namaku itu. Lantas aku berpaling ke arah suara itu. Rupa-rupanya Fatin, rakan sekuliahku! Aku tersenyum sambil melambaikan tangan ke arah Fatin yang sedang mengatur langkah ke arahku. Kelihatan Along dan Ili turut ada bersama Fatin.
“ Good Luck, Siti! ” Fatin bersuara sebaik sahaja menghampiriku. Dia menepuk-nepuk bahuku sambil tersenyum simpul. Aku membalas perlakuannya dan turut sama mengucapkan selamat berjaya kepadanya, begitu juga pada Along dan Ili yang sedang berdiri di sebelahnya. Seketika, pintu dewan terbuka dan kami dibenarkan masuk. Maka bermulalah perjuangan kami untuk menghadapi peperiksaan! Masing-masing sedang menyusul masuk ke dalam dewan begitu juga aku. Segala ilmu di dada akan kami curahkan untuk menjawab setiap soalan. Semoga usaha dan penat lelah kami selama ini tidak sia-sia!



-SETAPAK CITA SELANGKAH KE GELANGGANG-

Tidak dapat aku kisahkan rasa hatiku saat ini,
Tidak dapat aku lukiskan dunia indahku tika ini,
Bagaikan bunga-bunga sakura menguntum mekar indah
Berlingkar-lingkar didahan nan rendang....

(Majlis Konvokesyen ke-8)

Hari yang dinantikan akhirnya datang jua. Aku menyambutnya dengan hati yang riang dan penuh kesyukuran. Begitu juga dengan rakan-rakanku. Pastinya mereka juga turut sama berkongsi rasa yang sama sepertiku. Suasana di luar kawasan Dewan Sultan Mizan begitu riuh rendah dengan suara-suara para graduan. Kawasan sekitar dewan juga penuh sesak dengan siswa siswi dan keluarga para graduan. Keluarga ku juga turut hadir untuk sama-sama meraikan detik kegembiraan ku ini. Para graduan sedang berkumpul di kawasan lobby dewan untuk bersiap sedia bagi perarakan masuk ke dalam dewan yang akan bermula sebentar saja lagi. Sementara menunggu untuk perarakan bermula aku sekali lagi memeriksa smartcard kepunyaanku, bimbang juga jika terlupa bawa. Ini kerana kegagalan aku membawa kad berkenaan boleh menyebabkan aku dihalang daripada naik ke atas pentas. Seketika aku tersenyum kecil tatkala memandang ke arah teman-temanku yang sedang sibuk membetulkan jubah dan mortar board masing-masing. Aku kemudiannya berborak kecil dengan teman-teman rapatku itu. Kami sama-sama ketawa riang meraikan hari bersejarah ini. Jelas terpancar cahaya kegembiraan pada wajah masing-masing. Sempat juga kami bergambar bersama-sama sebagai kenangan.
“ E’eh..cuba tengok tu! Fong la, dia buat rambut baru...lawa! ” Tiba-tiba Huda bersuara. Aku dan yang lain-lain serentak memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Huda. Kelihatan Fong, Victoria, Tan Pui Wan, Chen dan Lim Bee Ting berdiri tidak jauh dari kami.
“ A’ah la..lawa la rambut dia. Victoria pun makin comel je aku tengok..hehe..” Balas Rerey. Kami turut sama menganggukkan kepala mengiakan kata-kata mereka.
“ Siapa lelaki yang berdiri dekat dia orang tu? Macam kenal tapi.....” Soal Yaya tiba-tiba dengan dahi berkerut seribu tanda confius.
“ Yang Mana??” Soal Jue sambil matanya melilau-lilau cuba mencari.
“ Yang nampak smart berkemeja tu ke?” Soal Ikin pula.
“ Alah, takkan la korang semua tak kenal. Tu Low Van Lun la! ” Tiba-tiba aku bersuara menjawab pertanyaan mereka.
“ Laa...yeke? Low rupanya. Handsome giler Low hari ni! Orang ingatkan pelakon Korea, Won Bin dah tadi. ” Simaa bersuara spontan menyebabkan kami ketawa serentak tiba-tiba.
“ Simaa..Simaa. Tak habis-habis dengan pelakon Korea dia tu.” Balas Ja sambil turut sama ketawa...
Tidak lama selepas itu, perarakan pun bermula. Dewan sudah sesak. Para graduan, mahasiswa cemerlang dan para pengiring memenuhi setiap kerusi yang tersedia. Aku dan teman-temanku duduk di barisan kerusi yang sama. Di barisan depan dewan pula terisi dengan barisan graduan Doktor Falsafah dan Sarjana Sains. Sewaktu dalam kesibukan menanti giliran untuk naik ke atas pentas, dalam riuh rendah bunyi tepukan, fikiranku dibawa melayang-layang mengingatkan kembali kata-kata azimat seseorang kepadaku sewaktu aku pernah menghadapi kegagalan dulu. Katanya....

When you feel like hope is gone, look inside you and be strong…you’ll finally see the truth that a hero lies in you!
When autumn comes, all the leaves will fall and leave behind all sad stories. When the first ray of the spring arrives, carpet of daisies will shine and rosebud will start to bloom…giving soul a fresh and new hope…to you!

Dan kini...benarlah kata-katanya. Akhirnya aku berjaya merealisasikan impianku. Hari ini aku cukup bahagia. Tiada sendu yang terzahir kecuali untuk membisikkan rasa gembira dan bersyukur. It’s hard to find words! Sukar untuk digambarkan perasaanku kala ini. Dewan besar ini semakin lama sejuknya semakin menggigit-gigit. Walaupun badan terasa semakin kesejukan, namun kedinginan ini tidak mampu mengusir debar menantikan saat-saat untuk naik ke atas pentas. Melihatkan jam yang sentiasa berdetik tanpa henti, jantungku kian berdegup kencang memikirkan saat-saat itu kian hampir. Saat untuk naik ke pentas,untuk menerima segulung ijazah.
“ Penerima ijazah yang seterusnya dipersilakan............................” Laungan yang mengumumkan namaku untuk naik ke atas pentas. Aku melangkah dengan penuh yakin menuju ke pentas untuk menerima segulung ijazah tanda kemenangan di atas segala usahaku selama ini. Aku dengan berhati-hati meniti tangga pentas dan tiba-tiba....gedebuk!! Semuanya gelap...
“ Aduhhh! ” Aku mengerang kesakitan kerana tergolek jatuh.
“ Aik?? Macam manalah aku boleh tergolek sampai jatuh katil ni. Bukan ke aku kat atas pentas tadi?” Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
“Ya Allah!” Aku menepuk dahi. Aku mimpi rupanya!! Surat konvokesyen yang masih di tangan aku renung. Rupa-rupanya tadi sewaktu aku berbaring sambil membaca surat konvokesyen dan mengimbau kenangan lama aku telah tertidur. Hari ni baru 18 Julai, lagi seminggu la nak konvokesyen. Aku ketawa sendiri tiba-tiba. Ish...ish...sampai termimpi-mimpi!! Nasib baik jugalah mimpi je. Kalaulah betul-betul aku jatuh. Ish, gila! Tak sanggup aku fikir! Benarlah kata-kata sahabat baikku, Zahlaha. Tak elok tidur petang-petang...nanti mewarisi kegilaan!!

Entah manis yang memerah airmata
Atau pahit yang mengenyangkan
Berlalulah semusim pengalaman!

-TAMAT-






P/S: Cerpen ini hanyalah rekaan semata-mata. Istimewa utk rakan2 kuliahku (Biodiversiti) yg bakal bgelar graduan tdk lama lagi. Kalau ada yang berkaitan tu...ampun dan maaf di pohon, harap jangan ada yang terasa hati...hehe. Ianya sekadar untuk suka-suka dan mengenang kembali kenangan kita semasa belajar dulu. Dan juga saja nak berkongsi cerpen yang tak seberapa ini dengan anda semua...huhu...peace!! 


0 comments:

BiCaRa HaTi

YA ALLAH..
Jadikan aku wanita Soleha...
yang baik di antara yg terbaik dan kurniakanlah aku pendamping yg baik..
dalam mendapatkan sesuatu yg terbaik dari Mu...Amin..

SuaRa HaTi

Saya hanya ada satu hati. Sekali saya jatuh cinta, sekali itulah tuk selamanya...& kerana itu saya sentiasa kosongkan hati saya utk insan yg sepatutnya..

Followers

About Me

My photo
-Siti Asmaa -Dea Asmaria (Nama pena) -1988 -insan biasa yg sukakan ssuatu dlm keadaan biasa2 sahaja -Suka membaca & suka mengarang
Powered by Blogger.

ConTest

My KarYa

My KarYa
Cerpen Utk Graduan

Sambungan Cerpen Utk Graduan (Dulu, Kini & Selamanya part 1 & part 2)

Burung Jenjang Kertas

Resume Cinta Maisara

Puisi Untuk Damia

Kekasih Halal

Hanya Di Mercu

Si Baju Putih Di Awan Biru

Blog Walking